Saturday, September 5, 2009

Tak payah poligami kalau tak mampu

KISAH minggu lalu Pil kebahagiaan hidup berpoligami membuat Hakimi menghubungi penulis sekali lagi. Sebenarnya sudah beberapa kali Hakimi berbuat demikian untuk menceritakan pengalaman pahit hidupnya setelah beliau menghantar e-mel kisah hidupnya sejak bulan Mac lalu.

Tetapi penulis tidak dapat menyiarkan kisahnya kerana kurang memahami jalan ceritanya yang berkait antara satu sama lain, namun kami berjanji untuk bercerita dan berbual panjang, setelah berbalas SMS. Tetapi masing-masing sentiasa sibuk dengan kerja harian. Sementara Hakimi mengaku dia tidak pandai bercerita lebih panjang dan jelas melalui e-mel. Katanya kalau berbual dan ditanya mungkin lebih mudah.

Oleh kerana ceritanya agak menarik juga tentang kisah hidup pahit manis menjadi anak mangsa poligimi, maka masing-masing mencari hari yang sesuai untuk bercerita.

Sebenarnya kami beberapa kali berjanji tetapi terpaksa ditunda disebabkan waktu yang tidak sesuai. Namun sering menghantar SMS berjanji dan mengharap agar kisah hidupnya dapat dipaparkan. Baru-baru ini beliau bertanya lagi apakah kisah hidupnya masih mendapat tempat untuk disiarkan di ruangan DCCK kegemarannya.

Ahad lalu apabila dipaparkan kisah isteri berpoligami, sekali lagi Hakimi SMS penulis. Akhirnya Isnin lalu kami berbual dan bercerita panjang. Maka di bawah ini saya paparkan pengalaman hidupnya yang cukup baik dijadikan panduan terutama kepada ayah yang berhajat kahwin lagi, fikirkanlah apakah tindakan anda baik untuk masa depan anak-anak.

‘‘Saya secara peribadi mengucapkan jutaan terima kasih kepada penulis DCCK, semoga ruang yang semuka ini mendapat pahala di sisi Allah. Dan saya tidak pernah terlepas membeli Mingguan Malaysia setiap Ahad semata-mata kerana mahu membaca ruangan ini, yang banyak memberi panduan hidup kepada yang mahu mencari ilmu dan memperbaiki kehidupan.

‘‘Macam-macam masalah, ilmu dan panduan hidup boleh kita dapati kalau kita renungkan dan membacanya dengan hati yang terbuka. Walaupun kadang-kala kita tak tahu macam mana nak menyelesaikan masalah yang kusut itu kalau ada orang bertanya, tetapi kalau hal rumah tangga saya menjawab berdasarkan pengalaman dan apa kata hadis dan al-Quran.

‘‘Biarpun umur saya dah lebih 30 tahun dan masih solo, namun saya dapat merasakan ramai wanita cuba ‘mendekati’ dan mengenali saya dengan lebih dekat kerana mereka berminat dengan tugas saya mengajar agama kepada kanak-kanak dan warga emas. Tetapi saya sudah tawar hati untuk berumah tangga kerana pengalaman hidup yang amat pahit pernah saya lalui sejak kecil lagi apabila ayah saya berpoligami.

‘‘Saya mengaku bahawa saya adalah anak dari keluarga yang bermasalah, nak kata ibu bapa bercerai tidak pula, tetapi seumpama mereka telah bercerai, kerana sejak kahwin baru, ayah tak peduli makan minum kami berempat beranak. Ayah tinggalkan kami begitu saja, seperti kata orang tua-tua, ibu saya digantung tak bertali dari umur saya tiga tahun hingga ayah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Lebih 25 tahun.

‘‘Saya anak bongsu dari tiga beradik, ayah seorang pemandu, banyak menjelajah utara selatan, timur barat. Menurut kata kakak, ayah memang garang, sering marahkan emak, tak tahu apa sebabnya. Emak punyalah baik kalau ayah balik tengah malam pun dia akan masak dan hidangkan untuk ayah, tapi ayah cari isteri lain juga.

‘‘Sejak ayah kahwin baru, hidup kami semakin menderita, maklum pendapatan tak seberapa. Biasanya masalah duit menjadi perbalahan. Setelah kami membesar, barulah kami tahu ibu tiri kami pemalas dan suka kawal ayah. Garangnya macam singa. Kalau di rumah, emak jadi sasaran tangan ayah, tetapi di rumah isteri baru, ayah jadi mangsa piring dan cawan terbang.

‘‘Jiran-jiran bercerita mereka pernah balutkan kepala ayah yang berdarah dan luka teruk kena lempar piring dan pinggan. Bengkak-bengkak di badan, dan di tangan tak usah nak cerita. Tapi ayah tak berani tinggalkan rumah isteri barunya. Pelik juga saya fikirkan kenapa ayah takut dengan isteri baru, tapi dengan emak, ayah jadi singa lapar macam nak makan orang.

‘‘Sebab itu masa ayah meninggal dunia, ibu tiri menangis tak henti-henti, kata jiran dia banyak buat dosa dengan ayah, agaknya tak sempat minta maaflah tu.

‘‘Masa emak mula-mula dapat tahu ayah kahwin lain, emak menangis berguling-gulang atas lantai, sebab emak sayang sangat pada ayah. Lagi pun emak tahu ayah bukan berduit sangat, macam mana nak tanggung makan minum dua keluarga.

‘‘Dalam pada itu ayah apabila keluar bekerja seminggu dua baru balik, bila barang makan tak ada pada siapa emak nak minta bantu. Apabila emak cakap dia nak cari kerja nak bantu ayah cari duit untuk buat belanja makan minum, ayah tak izinkan.

‘‘Apabila keadaan terdesak ayah semakin jarang balik ke rumah dan sering mengadu tak ada duit, emak terpaksa mencari kerja di bandar. Oleh kerana kami tinggal di kampung maka emak terpaksa pindah ke tempat dia bekerja. Emak sewa rumah kecil sekangkang kera untuk dia seorang diri tinggal. Kata emak dia terpaksa bekerja. Lagi pun emak tak larat berulang alik ke bandar.

‘‘Bila ayah tahu emak dah bekerja, dia mengamuk cari emak di bandar, bila dia jumpa emak dipukulnya kepala emak dengan helmet . Emak beritahu dia terpaksa bekerja sebab ayah tak tinggalkan duit belanja, anak-anak dah beberap hari tak bersekolah. Tapi ayah tak peduli.

‘‘Bila ayah paksa emak balik, emak ikut balik kampung, tetapi bila ayah pergi emak pergi kerja semula sebab masalah yang sama. Lagi pun setelah beristeri baru ayah tak pedulikan emak, mula-mula aja marah emak bekerja, lepas tu dia tak ambil kisah.

‘‘Pernah saya tak ke sekolah sebab tak ada kasut nak pakai. Emak suruh saya sabar sebab dia belum dapat gaji. Ayah pula bab saya tak pergi sekolah dia tak ambil pusing. Maaflah kaum Adam seluruh Malaysia, sebenarnya orang lelaki ini kahwin kerana ikut hawa nafsu, bukan kerana mampu.

‘‘Kepada sesetengah anak bila keadaan hidup begitu tertekan, duit sekolah tak ada, kasut sekolah dah koyak, buku tulis susah nak beli, mereka jadi tak tentu hala dalam pelajaran, mereka tak berminat belajar, mula malas ke sekolah. Dapat anak-anak yang nakal sikit mereka mula berkawan dengan kumpulan tak tentu hala. Bila dah terlajak nak betulkan mereka bukan mudah.

‘‘Maaf cakaplah bila anak-anak lelaki tak minat belajar, malas ke sekolah, bercampur dengan kumpulan yang tak ketahuan, hasilnya sudah tentu mereka jadi mat rempit, kutu rayau, penagih dadah dan sebagainya. Jangan salahkah mereka seratus peratus.

‘‘Tentu masalah hidup yang tak tentu hala jadi jawapannya. Sepatutnya sebagai ibu bapa tanya diri anda apa kesilapan yang telah anda lakukan maka anak-anak menjadi tak ketahuan hidup.

‘‘Namun masa ayah meninggal, sebagai anak lelaki, saya telah menjalankan tugas saya terhadapnya, saya mandikan jenazahnya, kafan, sembahyangkan, letakkan mayat dalam kubur dan baca doa atas kubur. Saya rasa sudah lakukan yang terbaik.

‘‘Berbalik kepada cerita saya tadi, bila ayah jarang balik, emak terpaksa bekerja di bandar, hantar kakak-kakak tinggal dengan adik-beradik emak untuk bekerja di rumah mereka sebagai pembantu rumah atau mengasuh anak mereka. Saya emak tinggalkan di rumah adik perempuannya.

‘‘Setiap minggu emak balik kampung jenguk kami dan bagi duit belanja. Makan minum kami adik beradik emak tanggung. Tapi kami terpaksa juga bekerja di rumah mereka. Sedihnya bila Hari Raya kami duduk di bilik sewa emak berhimpit-himpit.

‘‘Habis SRP pakcik hantar saya belajar agama pondok di utara. Saya ikut aja asalkan dapat belajar agama, kerana saya dah mula minat dengan agama, kerana semasa tinggal dengan pakcik, suami kepada adik emak banyak asuh saya dalam bidang agama, sebab itu tak susah mengaji pondok.

‘‘Tapi hidup di pondok bukan senang, sebab tak ada orang nak bantu. Bila Hari Raya atau cuti apa pun saya tak pernah balik ke kampung, sebab tak ada duit. Saya tinggal sorang-sorang hafal kitab dan makan nasi dengan rebus pucuk ubi.

‘‘Ayah tak pernah hantar duit selama lapan tahun saya belajar pondok. Kerana usaha dan doa lepas sembahyang, hajat saya dimakbulkan, saya dapat sambung belajar di luar negara.

‘‘Tak sangka abang ipar saya (suami kakak) sanggup keluar duit hantar saya. Tapi sedihnya masa di airport tak ada siapa hantar. Pandai-pandai sayalah nak hidup. Memang sedih meninggalkan Malaysia.

‘‘Semasa belajar pondok, saya dapat duit bila ada orang meninggal dunia. Kat utara sana kalau kita sembahyang mayat mereka bagi RM3 seorang. Dan duit sedekah kalau ada rezeki. Semasa di luar negara pula saya dapat duit RM10 sebulan sementara pihak kolej beri makan percuma kepada pelajar-pelajarnya. Itulah belanja hidup yang saya dapat setiap bulan, tetapi saya terus belajar kerana nak cari ilmu. Lagi pun dah nasib saya duduk di kampung susah, duduk di luar negara pun susah

‘‘Nak harapkan bantuan ayah memang tak ada sebab waktu itu saya dengar dia dah dapat tiga orang anak tentulah nak tanggung keluarga baru. Dalam pada itu saya dapat berita ayah kahwin lagi. Ceritanya terbongkar bila isterinya mengamuk. Saya pun pelik, ada isteri garang macam singa pun ayah dapat kahwin juga.

‘‘Gelinya hati semasa ayah meninggal dunia, kami fikirkan cuma dua isteri yang hadir, tetapi isterinya yang terbaru pun datang. Berita terbaru sebelum meninggal dunia ayah kahwin lagi, isterinya masih muda. Kawan-kawan ayah yang buka tembelang. Terkejut beruk kami sebab tak sangka ayah berani juga kahwin lagi.

‘‘Sebenarnya kawan-kawan ayah tahu banyak cerita tentang ayah. Kata mereka sebenarnya ayah pernah berkahwin enam kali, tetapi bukan serentak, dalam satu-satu masa ayah ada tiga atau empat orang isteri saja, dua lagi sudah diceraikan. Tapi mereka tak tahu sama ada ayah ada anak ataupun tidak dengan yang dua orang tu. Setahu mereka ayah ada anak dengan tiga orang isterinya sahaja termasuk emak saya.

‘‘Kini setelah kembali ke tanah air kira-kira dua tahun lagu, dengan ilmu yang ada saya buka kelas agama mendidik murid-murid supaya apabila besar nanti dan mereka ada masalah, mereka ada tempat hendak mengadu, iaitu Allah. Dan kepada mereka yang ingin bersedekah, sumbangkanlah sambil beramal. Kalau kita rajin bersedekah kalau kita ada masalah, Allah akan bantu kita ringankan masalah kita, atau kepada yang ada masa terluang ajarlah anak-anak ini mengaji tanpa bayaran, maka hati kita akan rasa lebih tenang.

‘‘Dan berdasarkan kepada pengalaman hidup saya yang maha pahit itu, kalau boleh saya ingin menyeru kepada kaum Adam, kalau tak berduit tak payahlah nak berpoligami, buat susahkan hidup anak-anak aja,’’ demikian cerita Hakimi tentang perjalanan hidupnya yang panjang dan penuh dengan duri dan ranjau. Begitu juga dengan nasihat kepada kaum sejenisnya kalau berhajat nak kahwin lagi.

Benar kata Hakimi, kalau tak berduit lupakanlah soal nak berpoligami. Dan kepada mereka yang mempunyai wang yang melimpah rumah, dalam bulan yang penuh barakah ini masanya untuk kita membuat pahala dan beramal jariah semoga mendapat keberkatan Allah.

- Di Celah Kehidupan, Pancaindera

ARKIB : 10/08/2008

No comments: